Dato Vida jadi Presiden KAFA? Inilah Syarat-Syarat Dato Vida
KOTA BHARU: Pemilik syarikat Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman, sedia mempertimbangkan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dengan mengemukakan dua syarat.
Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Dr Vida meletak syarat itu sebelum mempertimbang untuk mengisi jawatan Presiden The Red Warriors (TRW) yang akan dipertandingkan bulan depan.
"Syarat pertama, saya mahu lihat peminat sokong atau tidak dengan membeli produk saya seperti Pamoga Qu Puteh.
"Faktor inilah yang melemahkan semangat saya. Walaupun ada duit tapi tidak sokong saya dengan membeli produk untuk memastikan usaha menjana modal membiayai kewangan pasukan.
"Kalau tidak sokong, tidak beli produk Qu Puteh, bagaimana saya nak mengambil alih KAFA," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.
Mengulas syarat kedua, Vida berkata, KAFA perlu menyelesaikan segera hutang lapuk untuk membolehkan buku baharu dibuka sebelum presiden seterusnya mengambil alih.
"KAFA perlu selesaikan segera hutang lapuk untuk membolehkan saya buka 'buku baharu' dan menjadikan pengurusan kewangan lebih sistematik.
"Saya optimis jika dua syarat ini dipatuhi, tidak mustahil saya ke KAFA.
"Saya memuji langkah KAFA memberi peluang kepada calon yang berminat mengisi jawatan presiden dan Exco, malah satu usaha positif dalam membantu mengembalikan semula kegemilangan bola sepak negeri ini yang kini berdepan prestasi suram," katanya.
BH Sukan sebelum ini, melaporkan KAFA akan mengadakan Kongres Agung Tahunan kali ke-63 pada pertengahan bulan depan, bagi tujuan memilih barisan EXCO baharu termasuk presiden.
Pemilihan bertujuan memberi peluang muka baharu untuk membuat persiapan dan perancangan awal pasukan musim depan agar lebih sistematik.
SUMBER : BERITA HARIAN
Comments
Post a Comment