Respon Legenda Johor - Safawi inspirasi buat rakan-rakan

Kegagalan skuad bola sepak negara menguasai permainan pada separuh pertama ketika menentang Singapura dalam perlawanan kedua saingan Kumpulan A malam tadi, memberi ruang kepada lawan mendominasi permainan dengan baik dan yakin. 

Kesilapan-kesilapan individu itu memberi ruang kepada lawan dan seterusnya memberi tekanan kepada pemain-pemain negara sehingga lawan berjaya mendahului atas kesilapan sendiri.

Walaupun diberi sokongan yang penuh konsisten oleh penyokong skuad negara, namun mereka masih lagi tidak boleh mengawal tekanan yang mereka hadapi.

Itu bukan bermakna mereka tidak mampu tetapi kita perlu faham bagaimana tekanan dan bebanan yang dipikul oleh pasukan negara, termasuk Dato Ong Kim Swee bersama anak-anak buahnya.

Namun, daripada situasi inilah sebenarnya banyak mengajar pemain-pemain negara untuk mengawal tekanan dengan cepat.

Kita dapat lihat bagaimana Safawi Rasid mampu mengawal emosi dan dapat menyerap tekanan dengan cepat dan akhirnya dia berjaya mengekalkan persembahan yang konsisten dalam dua perlawanan.

Ini yang perlu dipelajari oleh setiap pemain bagaimana untuk menyerap tekanan dengan segera.

Sekiranya mereka mampu melakukannya, pasti mereka mampu memberikan aksi yang terbaik sepanjang perlawanan.

Ini dibuktikan sendiri oleh pemain-pemain negara dalam separuh masa kedua.

Apabila mereka mampu menyerap tekanan dengan cepat, keyakinan diri mereka begitu tinggi setelah mereka tahu tekanan dan bebanan lagi berat sekiranya mereka tewas kepada Singapura kerana harapan peminat yang ingin melihat pasukan negara mengutip pingat emas Sukan Sea Ke-29 ini amat tinggi.

Begitu juga dengan dua pemain simpanan yang dibawa masuk oleh Ong pada separuh masa kedua -- N. Thanabalan dan Nor Azam Azih -- yang berjaya mengawal emosi dan menyerap tekanan dengan cepat, akhirnya mereka berjaya memberi aksi terbaik sehingga mengembalikan keyakinan rakan-rakan untuk memberi aksi yang terbaik juga.

Inilah kelebihan yang ada pada sukan berpasukan kerana semangat daripada seseorang individu itu dapat membangkitkan aura dan seterusnya meningkatkan semangat rakan selebihnya untuk terus berjuang.

Itu yang dibuktikan oleh skuad negara malam tadi dan akhirnya mereka mencipta kemenangan yang sungguh bermakna.

Tahniah kepada pemain-pemain dan belajarlah daripadakesilapan lalu itu sebagai pengajaran dan pemangkin untuk bangkit dalam meningkatkan prestasi dan menggapai impian.

  Sumber : Astro Arena

Comments